3 juta disasar lawat PD pada 2023 - Utusan Malaysia

3 juta disasar lawat PD pada 2023

MUHAMMAD Zaki Yahya (tiga dari kanan) menyerahkan Fun Map Pelancongan dan Video Pelancongan kepada Pengarah Eagle Ranch Resort, Port Dickson, Greg Tee hari ini.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai tiga juta pelancong disasarkan mengunjungi daerah ini bersempena Tahun Melawat Port Dickson pada tahun 2023.

Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), sepatutnya Tahun Melawat Port Dickson dirancang untuk diadakan pada tahun hadapan, bagaimanapun ekoran kes Covid-19 yang masih tinggi, ia dianjakkan setahun lagi.

“Pihak kami kemudian merancang untuk mengadakannya pada tahun 2023, dengan anggaran tiga juta pengunjung.

“Kami turut mengharapkan daerah-daerah lain untuk turut membantu mempromosikan Tahun Melawat Port Dickson 2023 kali ini” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Edaran Fun Map Pelancongan Daerah Port Dickson di sebuah hotel di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Setiausaha MPPD, Muhammad Zaki Yahya.

Dalam pada itu, menurut Zamri, terdapat pelbagai program yang akan diadakan pada setiap bulan pada tahun 2023 bagi merancakkan acara tersebut.

“Setiap bulan program yang dianjurkan akan mengikut tema tertentu dan kemuncaknya adalah Pesta Port Dickson yang akan diwujudkan semula seperti zaman kegemilangan pesta itu dahulu, ” katanya.

Sementara itu, katanya, Program Edaran Fun Map  merupakan program jelajah ke setiap hotel di daerah ini bagi mengedarkan video pelancongan yang disediakan MPPD. 

“Ia salah satu insiatif pihak MPPD dalam memberikan maklumat lokasi menarik dan tempat makan yang popular di daerah ini. Ini sebagai nilai tambah selain promosi di media sosial” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamri turut memaklumkan, tiada kompaun dikenakan pihaknya kepada mana-mana pengunjung sebaik sahaja kebenaran rentas negeri diberikan.

“Jika diikutkan memang ramai yang datang ke daerah ini selepas kebenaran rentas negeri diberikan namun,  kami tidak mengenakan sebarang kompaun kerana saya melihat pelancong sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN