GEORGETOWN: Seramai 26 individu termasuk seorang remaja berusia 13 tahun yang sedang leka berhibur dengan alunan muzik di dalam parti liar ditahan polis selepas kondominium mewah yang disewa mereka di pusat bandar diserbu polis, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 1.30 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bertindak menyerbu kondominium itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, hasil pemeriksaan mendapati 26 individu terdiri daripada 15 lelaki dan 11 perempuan yang berusia 13 hingga 21 tahun itu merupakan kenalan.
“Siasatan awal juga mendapati mereka menyewa kondominium tersebut untuk sehari dengan kadar RM500 menerusi laman sosial untuk berparti.
“Soal siasat juga mendapati wang sewa dibayar oleh mereka dengan harga RM30 seorang bagi perempuan dan RM50 seorang bagi lelaki untuk tujuan mengadakan parti liar,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan yang turut disertai oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Timur Laut itu mendapati hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua peserta adalah negatif dan pihak polis turut merampas peralatan sistem audio.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya) dan Peraturan 17(1) Peraturan Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) (No 2) 2021.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti liar berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama sama orang ramai dalam menyampaikan kegiatan jenayah kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN










