19 warga Indonesia menceroboh perairan dihukum penjara, denda - Utusan Malaysia

19 warga Indonesia menceroboh perairan dihukum penjara, denda

SEBAHAGIAN daripada warga Indonesia yang didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini kerana memasuki negara secara haram pada 16 Oktober lalu. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seramai 12 warga Indonesia termasuk lima wanita masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh perairan Malaysia ketika ditangkap menaiki sebuah bot pada pertengahan bulan lalu.

Tujuh lagi penumpang bot tersebut pula masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama, dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret A. Hafiizh Abu Bakar memerintahkan semua 12 individu itu dipenjara bermula daripada tarikh mereka ditangkap pada 16 Oktober lalu manakala tujuh yang didenda akan dipenjara mulai hari ini jika gagal membayar denda tersebut.

Beliau juga memerintahkan bot nelayan tradisional Indonesia yang dinaiki oleh semua tertuduh dirampas dan dilucutkan hak mengikut Seksyen 49A(3) Akta Imigresen 1959/63.

Mengikut pertuduhan, semua 19 tertuduh berusia antara 24 hingga 61 tahun didakwa telah memasuki perairan Malaysia melalui pintu keluar dan masuk yang tidak diwartakan dengan menaiki sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada kedudukan 12.4 batu nautika dari Pulau Jarak dekat sini pada pukul 12.21 tengah hari 16 Oktober lalu.

Semua mereka didakwa di bawah Seksyen 5(1) dan 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rizal Fadzil manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, sepasukan empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menaiki sebuah bot telah menahan sebuah bot yang dinaiki 21 orang warga Indonesia yang berada dalam perairan Malaysia.

Pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan tiada rekod pergerakan masuk ke Malaysia oleh semua individu tersebut manakala Jabatan Perikanan pula mengesahkan bot dinaiki tidak berdaftar dengan jabatan itu.

Daripada 21 individu itu, dua daripadanya kemudian dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut manakala 19 lagi didakwa di mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya