BUKIT KAYU HITAM: Cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand gagal apabila ditahan berhampiran Jalan Bukit Kayu Hitam-Felda Bukit Tangga di sini semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, kehadiran kumpulan PATI warga Myanmar itu disedari anggota bertugas kira-kira pukul 1 pagi.
Katanya, semasa kejadian anggota sedang melakukan rondaan di jalan keselamatan sempadan di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri.
“Anggota mengesan tanda kesan potongan pada pagar keselamatan selain kesan tapak kaki manusia yang menghala ke kebun getah. Susulan itu, anggota melaksanakan penjejakan berdasarkan tapak kaki sebelum menahan sembilan lelaki dan tiga wanita yang bersembunyi di dalam semak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kesemua PATI tersebut kemudian dibawa ke pos keselamatan untuk siasatan awal.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka merupakan PATI warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun yang cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak sah. Turut dirampas mata wang Thailand, telefon bimbit dan barang kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3,748.80,” katanya.
Tambahnya, kesemua mereka seterusnya dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Jabatan Imigresen Alor Setar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.










