fbpx

Warga emas didakwa guna logo halal tanpa diperakui

TEOH Sue Guat keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini selepas prosiding pertuduhan menggunakan logo halal tanpa perakuan pada produk makanan, Jun lalu. - FOTO/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang wanita warga emas yang juga pemilik sebuah syarikat pemprosesan makanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan logo halal tanpa perakuan pada Jun lalu.

Teoh Sue Guat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan daripada pihak berkuasa berwibawa iaitu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 26 bungkus kwetiau goreng 500 gram dan 11 bungkus mitiau 500 gram jenama cap Angsana. 

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Angsana Kangsar, Kawasan Perindustrian Kuala Kangsar, Kuala Kangsar pada pukul 11 pagi, 22 Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perintah 8(a) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan, warga emas terbabit boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd. Azrul Faidz Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI