KEMAMAN: Dua nelayan hilang manakala seorang lagi selamat selepas bot dinaiki mereka tenggelam akibat dipukul ribut di Perairan Kemaman, di sini, kira-kira pukul 12.30 malam semalam.
Dua nelayan yang hilang ialah tekong bot, Azan Muda, 68, dan seorang krunya, Nordin Mohammad, 61.
Seorang lagi mangsa, Mahadi Jusoh, 51, ditemukan selamat oleh nelayan lain kira-kira pukul 10.30 pagi semalam sebelum dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, tiga nelayan tersebut keluar menangkap ikan kira-kira pukul 11.30 pagi Selasa dan kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 malam.
“Mangsa yang selamat membuat laporan polis kira-kira pukul 10 malam tadi yang memberitahu bot mereka terbalik dipukul ombak pada jarak 27.9 batu nautika dari Perairan Kemaman,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Maritim Zon Kemaman, Abdul Halim Hamzah berkata, Bot Penggalang 16 diatur gerak ke lokasi kejadian untuk pencarian kedua-dua mangsa.
“Bagaimanapun, operasi pencarian dihentikan sementara dan akan disambung pagi ini berikutan cuaca buruk dan laut bergelora yang menyukarkan operasi,” katanya. – UTUSAN









