KUALA LUMPUR: Terdapat 128,200 pelarian etnik Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat April lalu.
Mereka adalah daripada jumlah 219,472 pemegang kad UNCHR di mana 197,591 adalah warga Myanmar.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pelarian Rohingya di Malaysia dijangka melebihi angka tersebut memandangkan masih ada yang tidak berdaftar dengan agensi tersebut.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata. kewujudan penempatan haram melibatkan etnik Rohingya memerlukan penyelesaian terancang dan menyeluruh kerana masalah itu dilihat telah menjadi ‘barah’ yang semakin sukar dibendung.
Beliau berkata, isu tersebut bukan sesuatu perkara baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama.
Katanya, usaha menangani isu Rohingya tidak boleh diletakkan sepenuhnya bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Imigresen semata-mata.
“Polis adalah penerima terakhir dalam rantaian ini. Dari sudut keselamatan dan jenayah, kita akan ambil tindakan jika mereka terlibat dalam sebarang kesalahan.
“Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Lawatan Sempena Hari Polis di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.
Isu penempatan Rohingya kembali menjadi perhatian susulan pendedahan kewujudan bangunan haram dipercayai dihuni etnik itu di Hulu Langat.
Ia membawa kepada penahanan 42 warga asing dalam operasi di Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat, 9 Jun lalu.
Mengulas cadangan mewujudkan pusat penempatan Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman, Ayob berkata, terdapat pelbagai perkara perlu diteliti secara mendalam.
“Kalau diwujudkan pusat seperti itu, siapa yang akan menguruskan? Siapa yang akan membiayainya? Selepas disaring, mereka hendak ditempatkan di mana?,” katanya. –UTUSAN










