Pas rancang singkir Bersatu daripada PN?

Pas rancang singkir Bersatu daripada PN?

Pas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas didakwa merancang menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Perikatan Nasional (PN) jika berjaya mempengaruhi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Pemimpin tertinggi PN yang tidak mahu dinamakan berkata, satu mesyuarat telah diadakan semalam antara Pas dan dua parti komponen PN bagi ‘menyingkirkan’ Bersatu.

“Jika perkara itu berlaku, maka Bersatu tidak ada pilihan lain dan parti itu perlu bergerak sendiri dalam pilihan raya. Namun itu pun bergantung kepada MIPP dan Gerakan, sama ada mereka berpihak kepada Pas ataupun Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengikut Fasal 12.2 Perlembagaan PN, Mesyuarat Luar Biasa perlu dilakukan jika ingin memutuskan suatu perkara, dengan syarat apabila sekurang-kurangnya separuh (sekurang-kurangnya dua daripada empat) parti komponen bersetuju berbuat demikian.

Maka Mesyuarat Luar Biasa itu wajib diadakan dalam tempoh dua minggu daripada tarikh permintaan berkenaan.

“Jadi dalam mesyuarat tersebut, mereka boleh membuat keputusan jika benar-benar mahu singkirkan Bersatu,” katanya.

Mengukuhkan perkara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menjawab persoalan bolehkah mana-mana parti dalam PN disingkirkan daripada gabungan itu ataupun parti tersebut perlu keluar dengan rela hati daripada PN.

“Insya-Allah satu mesyuarat PN akan diadakan bagi membincang kedudukan PN, keahlian dan anggota parti. Semua akan diselesaikan dengan harmoni insya-Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas survival Gerakan dan MIPP, pemimpin PN itu turut berkata, kedua-dua parti berkenaan sukar untuk ‘hidup’, apatah lagi ingin mendapatkan sokongan bukan Melayu sekiranya bersama dengan Pas.

“Ambil contoh MIC dulu ingin bekerjasama dalam PN, tetapi akhirnya tidak menjadi disebabkan salah seorang pemimpin MIC menghubungi saya, dan menyatakan mereka tidak selesa bila Pas yang memimpin PN.

“Tetapi disebabkan kita nak jaga hubungan dalam parti, kita tidak bercerita tentang semua perkara ini sebab kita nak jaga kerjasama dalam parti PN. Ini lebih penting,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri berkata, PN bukan hak ekslusif Bersatu sebaliknya sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak kerana gabungan itu bukan milik mana-mana parti secara mutlak.

Katanya, PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas.

“Pas juga adalah antara parti pengasas PN dan saya sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN.

“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak. Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, keutamaannya adalah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN