Wanita dilaporkan hilang selepas terjun sungai ditemukan lemas

Wanita dilaporkan hilang ditemukan lemas

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas di Sungai Perak berhampiran Jeti Durian Sebatang, Teluk Intan, Perak, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Perak berhampiran Jeti Durian Sebatang semalam, ditemukan lemas kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Chua Lay Peng, 49, dijumpai pada pukul 10.50 malam tadi oleh nelayan di Kampung Beca, Sungai Nibong, dekat sini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, nelayan menemukan mayat mangsa dalam keadaan terapung dan tersangkut pada pokok kiambang di sungai berkenaan. 

Berikutan itu katanya, sepasukan anggota dan pemberi maklumat telah ke tempat mayat dijumpai bagi membuat pengesahan dan menanda lokasi sebenar mangsa.

“Mayat wanita itu dibawa naik ke jeti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba serta polis dan Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan itu ditamatkan pada pukul 12.18 tengah malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri memberitahu, kehilangan wanita itu disedari suaminya setelah mendapati mangsa tiada di rumah pada pukul 9 pagi.

Katanya, pencarian mangsa oleh keluarganya membawa kepada penemuan kereta wanita itu berhampiran lokasi kejadian pada pukul 4.30 petang.

“Berdasarkan penemuan tersebut, lelaki berusia 55 tahun itu mengesyaki isterinya telah terjun ke dalam Sungai Perak dan membuat laporan polis untuk bantuan.

“Pihak polis juga diberitahu oleh lelaki itu yang mangsa mengalami kemurungan dan enggan bercakap sejak minggu lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.