Ubat, kosmetik tidak berdaftar bernilai RM217,461 dirampas - Utusan Malaysia

Ubat, kosmetik tidak berdaftar bernilai RM217,461 dirampas

PELBAGAI jenis ubat dan kosmetik yang dirampas JKNS dalam serbuan yang dijalankan di Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 90 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM217,461 dirampas dalam serbuan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) di sekitar daerah ini, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr. Mohammad Faid Ab Rashid berkata, sebanyak dua buah rumah dan sebuah kenderaan diperiksa dalam serbuan yang dijalankan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Hasil maklumat yang diperoleh oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri Sembilan mendapati tiga lokasi serbuan tersebut dipercayai mempunyai rangkaian pasaran melibatkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

“Produk yang telah dirampas merangkumi pelbagai jenis termasuk produk tradisional yang tidak berdaftar dan ‘over-the-counter‘,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohammad Faid, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat-ubatan dan kosmetik berkenaan akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Jelas beliau, bagi syarikat yang disabitkan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sementara itu, Mohammad Faid berkata, sejak September 2019, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan label keselamatan hologram FarmatagTM untuk semua produk berdaftar.

“Label keselamatan hologram itu dilengkapi ciri keselamatan tambahan yang dapat membantu semua pihak dalam memastikan ketulenan produk di pasaran.

“Pengguna boleh menyemak ketulenan label hologram FarmaTagTM pada produk dengan menggunakan aplikasi Farmachecker yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Playstore, AppStore dan juga Huawei App Gallery,” katanya.

Beliau berkata, justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya