Tunggakan cukai: Permohonan kebenaran merayu Najib, Mohd. Nazifuddin didengar 16 Februari tahun depan - Utusan Malaysia

Tunggakan cukai: Permohonan kebenaran merayu Najib, Mohd. Nazifuddin didengar 16 Februari tahun depan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat kebenaran merayu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembayaran tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), didengar pada 16 Februari tahun depan.

Permohonan anaknya, Mohd. Nazifuddin untuk kebenaran mengetepikan perintah membayar tunggakan cukai RM37.6 juta turut didengar di Mahkamah Persekutuan pada hari yang sama.

Pada prosiding itu, Badan Peguam Malaysia turut dibenar bertindak sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae) untuk mengemukakan hujahan kerana kes itu melibatkan isu perlembagaan yang penting.

Persoalan itu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Tarikh itu ditetapkan selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rasidah Roslee secara dalam talian hari ini manakala pengurusan kes selanjutnya dijadualkan pada 8 Februari tahun depan.

Bekas Perdana Menteri dan anaknya diwakili oleh peguam Wee Yeong Kang manakala Peguam Hasil Al Hummidallah Idrus dan Siti Aisyah Yusoff mewakili LHDN. S. Abhilaash hadir mewakili Badan Peguam Malaysia sebagai sahabat mahkamah pada prosiding itu.

Pada 13 September lalu, Najib dan Mohd. Nazifuddin memfailkan notis usul untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembayaran tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.

Dalam notis usul itu, mereka mengemukakan sembilan persoalan undang-undang antaranya menyentuh isu sama ada Seksyen 106 melanggar Perkara 121.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan mereka atas alasan isu-isu yang dibangkitkan tiada merit.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai daripada kedua-duanya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan

Mahkamah Rayuan berpuas hati Seksyen 106(3) tidak melanggar Perkara 121 dan mahkamah mempunyai kuasa kehakiman untuk mendengar dan memutuskan pertikaian di bawah Seksyen 106 walaupun dalam keadaan beberapa perkara tidak dibenarkan untuk dibangkitkan bagi pertimbangan mahkamah.

Najib dan Mohd. Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwanya masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya