JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan mengadakan konvensyen negeri pada 14 Jun depan bertujuan memperkukuh tekad, kesatuan dan hala tuju perjuangan gabungan politik berkenaan di negeri ini.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya juga akan memperkukuh kerjasama dengan Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) di negeri ini, selaras pengumuman bahawa parti itu kembali menjadi rakan komponen.
“Saya telah pengerusikan Mesyuarat BN Johor demi memastikan kestabilan politik serta kemajuan negeri terus diperkukuhkan.
“Mesyuarat juga bersetuju bahawa Konvensyen BN Johor akan dianjurkan pada 14 Jun 2026 sebagai medan memperkukuh tekad, kesatuan dan hala tuju perjuangan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Menteri Besar itu lagi, mesyuarat tersebut menjadi platform penting untuk memperhalusi gerak kerja, mengukuh kerjasama antara komponen parti serta menyusun langkah memastikan agenda Maju Johor dapat dilaksana secara menyeluruh.
“Semoga permuafakatan dalam BN akan terus menjadi kekuatan utama dalam membawa suara rakyat, memperkukuh perpaduan serta memastikan setiap perancangan pembangunan dapat diterjemahkan dengan berkesan demi masa depan Bangsa Johor yang lebih gemilang,” katanya.










