fbpx

7 Disember 2021, 8:20 am

  TERKINI

Tunai hajat bapa, ketuai perbarisan tamat latihan

AZREL Ishak bersama anugerah diterimanya selepas dipilih sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan Pusasda, Port Dickson semalam. – MINGGUAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pesanan arwah bapa yang mahukan Azrel Ishak mengetuai perbarisan latihan menjadi penguat semangat dirinya sehingga menamatkan Latihan Perajurit Muda Lelaki dengan cemerlang.

Lebih membanggakan, Azrel turut terpilih sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan dalam latihan bermula sejak April lalu.
Azrel berkata, bapanya, Ishak Ismail bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia Mei lalu akibat angin ahmar sebelum dia memasuki latihan tentera.

“Kata-kata bapa akan sentiasa saya ingat dan ia menjadi pendorong kepada saya untuk menjadi Pelatih Terbaik Keseluruhan.

“Saya memang minat dalam bidang ketenteraan sejak daripada kecil dan apabila saya memberitahu arwah bapa tentang hasrat saya untuk masuk tentera arwah gembira,” katanya.

Anak bongsu daripada enam adik beradik itu ditemui pemberita selepas tamat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 193/2021 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Sementara itu, Zamrose berkata, seramai 2,525 orang perajurit muda berjaya menamatkan latihan semalam.

“Perajurit muda yang menjalani latihan di Pusasda dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan asas ketenteraan. Mereka juga memperoleh kemahiran yang diperlukan sebagai seorang tentera darat yang terlatih,” jelasnya.

Selain Azrel, anugerah Perajurit Muda Kawad Terbaik ialah Mohamad Shamirul Ramza, 19, Perajurit Muda Akademik Terbaik disandang Muhd. Luqman Fawwaz Salimi, 24, manakala Perajurit Kecergasan Jasmani Terbaik diraih Patrick Nyaum Anak Jatan, 19.- MINGGUAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN