fbpx

Tular 18 soalan temu duga bakal pengantin di Sarawak

TANGKAP layar yang memaparkan senarai 18 soalan wajib dijawab oleh bakal pengantin lelaki dan perempuan Islam di Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bagi yang pernah berkahwin, tentunya ada pengalaman unik apabila ditanya pelbagai soalan berkaitan feqah dan perlu dijawab betul sebelum bermula acara akad nikah.

Kebanyakan soalan diajukan pendaftar pernikahan atau lazim disebut sebagai kadi itu pula lebih bersifat spontan dengan apa terlintas di fikiran, malah jawapan salah pun masih diterima.

Namun di Sarawak, tular dalam kalangan pengguna media sosial tempatan mengenai senarai 18 soalan yang ‘wajib’ akan ditanya jurunikah ke atas bakal pengantin lelaki dan perempuan.

Borang berkenaan bahkan lengkap dengan dua baris kolum menegak antara bakal mempelai lelaki dan pasangannya serta keputusan dengan tanda X sama ada calon itu lulus atau gagal.

Lampiran soalan temu duga yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak itu dimuat naik pula menerusi akaun sosial Instagram dikenali sebagai TheDakwah.my sejak semalam.

Antara yang mesti ditanya ialah berkaitan lafaz syahadah dan pengertian di soalan pertama diikuti bacaan surah Al-Fatihah, doa qunut, tahiyat awal dan akhir, rukun wuduk serta solat.

Bahagian mungkin agak sukar bagi calon bukan latar belakang pengajian agama tentunya sebab mandi wajib, jenis air, najis, isu batal wuduk dan perbuatan haram orang hadas besar.

Malah, mungkin bakal pengantin akan berpeluh apabila ditanya senarai sifat Allah dan Rasul, rukun Iman dan Islam selain rukun nikah, bacaan surah tertentu serta niat mandi wajib.

Soalan yang barang kali dianggap sukar walaupun graduan pengajian agama dari universiti tentunya tanggungjawab suami dan isteri meskipun jawapan diberikan itu bersifat subjektif.

Lebih mendebarkan, jurunikah dibenarkan bertanya soalan tambahan selepas habis 18 soalan wajib itu yang dianggap cepumas kerana menjurus kepada topik bebas berkaitan Islam.

Hantaran unik yang dikongsi pentadbir akaun berkenaan meraih lebih 11,000 tanda suka dari kalangan warganet dengan hampir 200 komen hanya dalam tempoh kurang 24 jam disiarkan.

“Doa qunut tu kena betul-betul faham, takut tertukar dengan doa iftitah,” kata Azim Arshat manakala Haiqal Its Here pula menulis dengan diakhiri emoji ketawa: ”Semua ni soalan feqah!”

Sementara itu, netizen dengan nama Nizyanaj menulis: “Semua 18 soalan ni memang tiada masalah, insya Allah, tetapi bahagian soalan tambahan tu macam seram pula bunyinya.”

“Sebelum nikah, hafal semua tapi sudah nikah mula lupa dan tidak amal dah,” sindir warganet bernama Meziawa manakala Umaiafni menulis: “Serius sudah macam peperiksaan akhir.”

POPULAR

KOSMO! TERKINI