Tuanku Muhriz berkenan lancar Risalah Penghayatan Solat

Tuanku Muhriz berkenan lancar Risalah Penghayatan Solat

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan melancarkan Risalah Penghayatan Solat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 1443H di Masjid Negeri, Seremban, semalam. Turut hadir Aminuddin Harun (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran Risalah Penghayatan Solat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 1443H di sini semalam.

Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini diadakan di Masjid Negeri di sini dengan bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti.’

Risalah Penghayatan Solat itu merupakan hasil idea dan semakan baginda sendiri yang memuatkan bacaan dan terjemahan solat termasuk dalam Bahasa Inggeris. 

Ketibaan baginda sebelum itu turut diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir.

Sebanyak 300 cetakan awal telah diedarkan kepada tetamu kehormat dan para jemaah yang hadir.

Sementara itu, Tuanku Muhriz dalam ucapannya bertitah, menyedari hakikat bahawa ramai umat Islam tidak mempelajari Bahasa Arab, MAINS telah menerbitkan sebuah risalah ringkas yang menterjemah setiap bacaan dalam solat dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Risalah ini bertujuan untuk memudahkan pemahaman maksud bacaan dalam solat, sekali gus membantu umat Islam menghayati ibadat solat. 

“Langkah menerbitkan risalah ini adalah satu usaha yang amat sesuai. Beta berharap risalah ini akan dijadikan rujukan oleh mereka yang tidak memahami Bahasa Arab,” titah baginda.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan putera kedua baginda, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya