PETALING JAYA: Penukaran kad pengenalan kepada MyKad generasi baharu kini dilaksanakan di cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara.
JPN memaklumkan, individu yang membuat permohonan di 40 cawangan terpilih yang dilengkapi kemudahan pusat cetakan boleh menerima MyKad baharu pada hari sama.
Katanya, kemudahan itu membabitkan beberapa cawangan JPN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.
“Namun, bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, MyKad generasi baharu akan disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja,” katanya.
Sementara itu, kemudahan Touch ‘n Go tidak lagi tersedia dalam MyKad versi baharu, namun orang ramai boleh terus menggunakan perkhidmatan berkenaan menerusi aplikasi e-dompet atau kad Touch ‘n Go berasingan.
Pertukaran kad pengenalan baharu juga tidak menyebabkan baki atau kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hilang.
Rekod maklumat berkenaan masih boleh disemak dan dirujuk melalui sistem SARA termasuk laman web www.sara.gov.my atau saluran rasmi, MyKasih.
MyKad baharu juga boleh digunakan bagi bantuan atau subsidi kerajaan yang menggunakan kad itu sebagai medium pengesahan atau penebusan, tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan oleh agensi berkaitan.
Dalam pada itu, pengeluaran kad pengenalan baharu tidak mengubah nombor kad pengenalan atau maklumat peribadi yang terdapat dalam rekod MyKad lama, malah ia kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan boleh digunakan untuk sebarang urusan kerajaan.
Bagi urusan bank atau perkhidmatan lain, pelaksanaan MyKad baharu mengambil kira keperluan sistem dan perkhidmatan yang menggunakan kad berkenaan, selain proses penyesuaian akan dibuat secara berperingkat bersama pihak berkaitan.
Bayaran bagi proses permohonan MyKad baharu tertakluk kepada kategori permohonan dan kadar yang ditetapkan oleh JPN.
Orang awam tidak perlu hadir ke JPN semata-mata untuk menukar MyKad sedia ada dan bagi urusan penggantian, permohonan boleh dibuat berdasarkan prosedur JPN.
Pemohon digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu melalui www.mytemujanji.jpn.gov.my bagi memudahkan urusan di kaunter.-UTUSAN










