'Satu Jumaat lagi' menjelang pembubaran DUN Melaka

‘Satu Jumaat lagi’ menjelang pembubaran DUN Melaka

AB. Rauf Yusoh menyampaikan anugerah kepada seorang penerima sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas, Hari OKU dan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri di Alor Gajah, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sekali lagi memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semakin hampir apabila mengulangi ungkapan ‘satu Jumaat lagi’ sebagai indikator kepada tarikh berkenaan.

Ab. Rauf berkata, tarikh sebenar belum ditetapkan dan kerajaan negeri masih mempunyai beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran diumumkan.

“Saya belum dapat lagi (tarikh tepat). Saya memberikan indikator dari Jumaat ke Jumaat kerana dalam Jumaat ke Jumaat itu kita ada banyak lagi perkara yang perlu kita selesaikan untuk mengurus negeri Melaka.

“Insya-Allah, pastinya pilihan raya tetap diadakan dalam masa tempoh yang terdekat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Ab. Rauf berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan pembubaran DUN Melaka yang kini menjadi perhatian umum, khususnya selepas tular dakwaan pada Selasa lalu kononnya kerajaan negeri sudah membubarkan DUN Melaka.

Spekulasi itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat dan pemerhati politik negeri mengenai tarikh sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ab. Rauf berkata, pengumuman rasmi berhubung pembubaran DUN hanya akan dibuat apabila tiba masanya.

“Dalam teori ini semua orang tertunggu-tunggu tentang bilakah DUN Melaka akan dibubarkan. Ia dah bukan jadi satu perkara yang menjadi rahsia, cuma menunggu masa.

“Saya akan panggil (sidang akhbar), bila saya panggil press (sidang akhbar), datanglah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×