PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon, Jazmy Juma, Farah Athirah Rozman memaklumkan dirinya mengalami keguguran selepas dua bulan mendirikan rumah tangga.
Khabar duka itu dikongsikan oleh Farah ketika berada di sebuah pusat rawatan menerusi sebuah hantaran di Instagram Story, semalam.
“Kehidupan ini penuh rahsia, siapa sangka saya mempunyai anak yang kini di syurga,” katanya.
Lebih menguatkan lagi dakwaan tersebut, menerusi sebuah hantaran di Threads Farah yang menggelarkan dirinya ‘mummy’ berharap mereka akan ditemukan di syurga kelak.
“Ada yang akan menunggu di pintu syurga. Dia tunggu mummy daddy dia di sana, manja mummy,” tulisnya.
Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Yes! Captain Zul Aaryan itu tidak memaklumkan secara terperinci mengenai punca keguguran itu berlaku.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata kenalan rapat tampil menitipkan kata-kata semangat buat suri hati pelakon itu.
Untuk info, Jazmy dan Farah mendirikan rumah tangga pada 27 Jun lalu selepas enam tahun menjalinkan hubungan cinta.
Majlis pernikahan pasangan itu telah diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat.-UTUSAN










