GEORGETOWN: Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) berharap kerajaan dapat menonjolkan status hak asasi manusia di negara ini supaya dapat dijadikan contoh di peringkat dunia dalam usaha mempertahan kebebasan rakyat berlandaskan sosiobudaya sesebuah negara.
Presidennya, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, ini kerana tafsiran kebebasan dan hak asasi antara negara-negara barat dengan Malaysia mungkin berbeza.
Katanya, Malaysia telah membuktikan kebebasan hak asasi manusia di negara ini adalah berlandaskan acuan sendiri serta tidak pernah tunduk kepada mana-mana tekanan negara asing.
“Kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) adalah pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia di negara ini.
“Dunia memandang tinggi terhadap Malaysia dan menaruh kepercayaan terhadap negara ini walaupun dalam suasana politik dalaman yang tidak stabil ekoran pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia memenangi pengundian negara untuk menduduki satu daripada 18 kerusi dengan 183 undian pada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penggal 2022-2024.
Menurut Mohd. Yussof, Malaysia adalah contoh sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum serta kebebasan agama dan Islam adalah tunjang agama Persekutuan.
“Satu perkara yang harus disedari ialah hak asasi manusia di negara ini didirikan atas Kontrak Sosial dan dalam Perlembagaan Negara ketika negara mencapai kemerdekaan.
“Keistimewaan inilah menyebabkan Malaysia telah menarik perhatian dunia dan negara memenangi pengundian untuk menduduki satu daripada 18 kerusi dengan 183 undian pada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2022-2024,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah supaya mengambil iktibar dan pengajaran terhadap kesilapan lampau apabila kerajaan menandatangani Statut Rom dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang ternyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan ini telah menimbulkan kerisauan umat Islam kerana menyentuh kuasa Raja-Raja, keistimewaan orang Melayu dan kemuliaan agama Islam di negara ini.
“Sekiranya sesuatu ratifikasi yang akan ditandatangani oleh negara kita di masa hadapan, maka hendaklah tidak bercanggah dengan kehendak Perlembagaan yang berteraskan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE