SEREMBAN: Pertimbangan serius perlu diambil oleh pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan cadangan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditangguhkan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sekiranya terdapat peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang untuk PRN tersebut ditangguhkan, perkara itu perlu diberikan pertimbangan.

“Saya berpandangan ada baiknya pertimbangan serius perlu diberikan oleh kerajaan dan SPR supaya apakah PRN itu lebih penting daripada kesihatan awam. Jika boleh dan ada peruntukan yang tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang kita untuk menangguhkan, saya cadangkan supaya ia ditangguhkan sementara waktu.
“Jika PRN diadakan juga walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu, SPR ada caranya untuk mengundi dan berkempen dalam keadaan begini, tetapi keadaan itu kadang-kadang sukar untuk dikawal.
“Bila keadaan tidak dapat dikawal sepenuhnya saya risau, pandangan pakar-pakar kesihatan akan jadi kenyataan dan kita tak mampu lagi untuk berhadapan dengan satu lagi gelombang (penularan Covid-19), kalau ia berlaku saya rasa kita akan hadapi masalah yang amat besar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan bantuan kepada 132 orang warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di Masjid Kampung Sega, Rantau di sini hari ini.
Dalam pada itu, ujar Mohamad, sekiranya PRN Melaka memang tidak dapat dielakkan lagi dalam tempoh terdekat, beliau mencadangkan kepada pihak SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kempen secara bersemuka tidak dibenarkan proses pengundian mestilah dipanjangkan kepada beberapa hari.
“Kalau tiada ada lagi cara untuk menangguhkan dan jika semua mahu PRN diadakan, saya cadangkan tidak ada kempen secara bersemuka, tidak boleh keluar, berkempen pilihan raya hanya secara maya dan di media sosial selain proses pengundian mesti dipanjangkan kepada beberapa hari bukan hanya satu hari.
“Perkara ini belum dibincangkan lagi dalam UMNO sebab kata putus bukan pada UMNO tetapi SPR, dalam perkara ini dan dalam Perlembagaan, kata putus adalah SPR, apabila mereka mengazetkan, kita buatlah ikut apa yang perlu kita lakukan, jadi kita tunggu keputusan SPR, UMNO tiada apa-apa kata putus,” katanya.-UTUSAN ONLINE