PARLIMEN: Malaysia mahu Kod Tatalaku di Laut China Selatan dimuktamadkan segera

PARLIMEN: Malaysia mahu Kod Tatalaku di Laut China Selatan dimuktamadkan segera

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang giat mempercepatkan proses rundingan bagi memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) supaya dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu dilaksanakan sejajar peranan Malaysia sebagai Negara Penyelaras hubungan dialog ASEAN–China bagi tempoh Ogos 2024 hingga Julai 2027, sekali gus mengangkat peranan negara sebagai pemain utama dalam rundingan berkenaan.

Katanya, langkah itu juga berupaya memberi kesan substantif serta efektif kepada kestabilan rantau ini.

“Malaysia sedang mengambil langkah untuk mempercepatkan rundingan COC agar ia dapat dimuktamadkan secepat mungkin. Kita mahu memastikan kod ini benar-benar berkesan dalam menjaga keselamatan dan kestabilan Laut China Selatan.

“Malaysia juga memastikan bahawa rundingan ini tidak akan menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya di dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang memintanya menyatakan maklumat terkini berkaitan proses rundingan bagi Kod Tatacara Laut China Selatan dan apakah cabaran mendatang dalam merealisasikan perjanjian ini.

Menurut Mohamad, pada Julai 2023, ASEAN dan China telah bersetuju menerima pakai Guidelines for Accelerating the Early Conclusion of an Effective and Substantive Code of Conduct in the South China Sea, yang menetapkan tempoh tiga tahun bermula 2023 bagi memuktamadkan rundingan COC.

Katanya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan penyelaras rundingan COC kini melaksanakan pelbagai usaha termasuk melalui sidang video, sesi pemukiman dan mesyuarat fizikal secara lebih kerap.

“Contohnya, rundingan COC telah diadakan di Manila pada April lalu, manakala pusingan seterusnya akan dihoskan Malaysia pada 11 hingga 14 Ogos ini,” ujarnya.

Mohamad berkata, ASEAN dan China turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Malaysia untuk mempengerusikan rundingan secara bersama dan efektif bagi memuktamadkan dokumen bersejarah itu.

“Kementerian Luar juga akan terus menyuarakan pendirian tegas Malaysia di semua platform berkaitan bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara kekal terpelihara, selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×