Jangan keliru antara nakal, ADHD

Jangan keliru antara nakal, ADHD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Joe berusia lapan tahun tetapi sentiasa gelisah dan tidak boleh duduk diam. Si kecil itu selalu bangun dari tempat duduknya, sama ada di dalam kelas, menonton wayang, ketika makan atau membaca buku.

Dia cuba menunggu gilirannya tetapi tidak dapat menahan diri daripada menyampuk semasa sesi pembelajaran dan mengganggu rakan-rakan.

Malah, dia sukar mengingati di mana dinosaur kesayangannya ditinggalkan, pensel, beg sekolah atau roti sosej yang sudah separuh dimakan.

Berkali-kali dia dipanggil budak nakal dan menjengkelkan.

Joe adalah contoh lazim seorang kanak-kanak dengan kecelaruan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

Walaupun simptom serta cabaran tertentu mungkin berbeza bagi setiap individu, perasaan tidak berdaya dan sering disalah faham merupakan cabaran pesakit yang didiagnosis dengan gangguan ini.

Pakar psikologi klinikal dan pensyarah kanan Universiti IMU, Dr. Serena In berkata, ADHD ialah satu gangguan perkembangan saraf yang bermula sejak zaman kanak- kanak.

Perkara ini memberi kesan terhadap perkembangan otak dan keupayaannya dalam memproses maklumat.

“Ia bukan masalah tingkah laku. Apa yang berlaku dalam otak mempengaruhi cara seorang kanak-kanak berfungsi,” katanya.

Mengikut data Kementerian Kesihatan, sebanyak 1.6 peratus hingga 4.6 peratus daripada populasi negara didiagnosis dengan ADHD pada 2020.

Malah, kanak-kanak lelaki berisiko tiga hingga empat kali ganda untuk menghidapnya berbanding perempuan.

Namun, kata Serena, angka itu mungkin tidak sepenuhnya tepat kerana kanak-kanak perempuan cenderung menyesuaikan tingkah laku agar lebih diterima secara sosial, sekali gus menyebabkan bilangan diagnosis rendah.

Terdapat tiga jenis ADHD iaitu hiperaktif-impulsif, kurang tumpuan atau gabungan kedua-duanya.

Kanak-kanak hiperaktif-impulsif sukar untuk kekal fokus pada sesuatu tugasan, sentiasa aktif dan tidak boleh duduk diam serta sentiasa bergerak-gerak.

Mereka tidak boleh duduk diam semasa dalam kelas atau ketika menonton wayang di samping kurang kawalan diri.

Jika kanak-kanak biasa boleh belajar untuk beratur dan menunggu giliran, tetapi jenis hiperaktif-impulsif cukup sukar untuk melakukannya.

Mereka cenderung lupa atau hilang barang, mudah terganggu dan sukar menumpukan perhatian.

Mereka kelihatan seperti tidak mampu mendengar dengan baik, hilang minat, nampak bosan atau seolah-olah sedang berangan.

Tidak kiralah jenis ADHD apa pun yang dihidapi seseorang kanak-kanak, mereka sering disalah anggap sebagai bermasalah daripada segi tingkah laku dan disiplin.

Mereka mungkin membesar dengan dilabel sebagai biadab, tidak terkawal dan nakal.

 

GENETIK, PENDEDAHAN GAJET
Genetik memainkan peranan, di mana kanak-kanak lebih cenderung menghidap ADHD jika terdapat ahli keluarga yang turut menghidapnya.

Kata Serena, dalam kes kembar seiras, jika seorang mempunyai ADHD, kemungkinan besar kembarnya juga menghidapnya.

Terdapat juga faktor persekitaran seperti pendedahan kepada bahan toksik semasa zaman kanak-kanak serta faktor pranatal seperti ubat-ubatan diambil oleh ibu hamil yang mendedahkan janin kepada risiko tertentu yang membahayakan.

Pakar turut menyarankan ibu bapa supaya menangguhkan pendedahan kepada skrin atau gajet untuk anak-anak selama yang mungkin.

Kepantasan filem yang semakin meningkat, iklan dan pemberitahuan yang berterusan dan kerap boleh menjadi sangat membebankan dan merangsang otak secara berlebihan, terutama otak kanak-kanak yang masih muda.

Ini juga boleh meningkatkan tingkah laku ketagihan dan memendekkan jangka masa tumpuan.

“Pendedahan berlebihan kepada skrin juga bermaksud kurang bersenam, tidur yang berkualiti dan masa melakukan kerja sekolah, sekali gus menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk berada pada tahap terbaik mereka,” katanya.

 

RAWATAN
Bagi kanak-kanak, proses pengesanan masalah perkembangan bermula dengan pemerhatian oleh ibu bapa dan penjaga dalam pelbagai situasi.

Serena menasihatkan agar tidak mendiagnosis sendiri melalui ujian dalam talian, sebaliknya mendapatkan bantuan daripada profesional bertauliah.

Pelan rawatan boleh bergantung kepada terapi, ubat-ubatan atau gabungan kedua-duanya.

Untuk membantu kanak-kanak ADHD menyesuaikan diri di sekolah, doktor boleh mengeluarkan surat sokongan bagi keperluan khas seperti masa peperiksaan tambahan, tempat duduk fleksibel atau penggunaan alat bantu seperti fidget toys.

Di rumah pula, ibu bapa digalakkan membina rutin harian yang teratur, termasuk waktu makan tetap dan suasana rumah yang kemas, kerana struktur seperti ini sangat membantu kanak-kanak ADHD.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN