PARLIMEN: Pasukan Petugas khas teliti pemansuhan hukuman mati ditubuhkan

PARLIMEN: Pasukan Petugas khas teliti pemansuhan hukuman mati ditubuhkan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas di bawah Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Jenayah (CLRC) bagi mengkaji secara menyeluruh dasar dan hala tuju berkaitan hukuman mati di negara ini.

Pasukan itu yang diwujudkan pada 9 Julai lalu akan melaksanakan kajian berasaskan bukti (evidence-based approach) melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk keluarga banduan akhir dan keluarga mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan pasukan itu susulan keperluan untuk merangka dasar lebih tuntas berhubung pemansuhan sepenuhnya hukuman mati.

“Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi libat urus pada April 2025 melibatkan agensi kerajaan, badan guaman, badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat Madani. Terdapat cadangan agar kajian lebih mendalam dilakukan hasil daripada sesi tersebut.

“Sehubungan itu, kerajaan pada 9 Julai lalu memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Petugas di bawah CLRC. Kajian ini bertujuan merumuskan dasar yang holistik dan mengambil kira semua pandangan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya di dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berhubung hala tuju pemansuhan sepenuhnya hukuman mati dan adakah kerajaan akan mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati selaras dengan sokongan Malaysia terhadap resolusi moratorium oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Azalina berkata, moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati masih berkuat kuasa selaras dengan pendirian Malaysia yang menyokong resolusi moratorium oleh UNGA.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, langkah reformasi berhubung hukuman mati telah dimulakan sejak 2018 apabila Jemaah Menteri bersetuju memansuhkan hukuman itu secara berperingkat dan melaksanakan moratorium.

Katanya, dua akta penting telah diluluskan pada 17 Mac 2023 iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 (Akta 847).

“Susulan pewartaan Akta 847, seramai 906 banduan akhir dikenal pasti layak memohon semakan. Sehingga Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan telah meringankan hukuman bagi 863 banduan, namun 49 masih kekal dengan hukuman mati,” katanya.

Azalina berkata, angka itu dijangka terus meningkat jika tiada dasar jangka panjang dan komprehensif dirangka bagi menangani isu ini secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN