PETALING JAYA: Tiga termasuk wanita ditahan dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Jinjang, semalam.
Kesemua suspek berusia 48 hingga 57 tahun itu ditahan dalam serbuan satu jam bermula pukul 3.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati kumpulan ini bergiat aktif sejak Jun lalu mengedar dadah si sekitar kawasan terbabit.
Katanya, dalam serbuan itu, polis menemukan dadah jenis heroin dipercayai untuk dijual.
“Turut dirampas wang tunai RM43 dipercayai hasil jualan dadah.
“Saringan air kencing mendapati ketiga-tiga positif dadah jenis morfin, amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Eng Lai berkata, semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah dadah.
“Suspek pertama ada 26 rekod, suspek kedua pula mempunyai 10 jenayah dadah manakala wanita ditahan ada 12 rekod dadah.
“Kesemua mereka direman enam hari bermula semalam hingga Jumaat depan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- UTUSAN ONLINE










