PADANG BESAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menempatkan pegawai dan anggotanya di Terminal Bas Express Kangar, Bukit Lagi bagi memastikan tiada individu yang tidak lengkap suntikan vaksin terlepas menaiki kenderaan awam itu.
Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pemeriksaan dibuat bukan sahaja terhadap pemandu, malah kepada para penumpang yang cuba merentas negeri meskipun tidak vaksin.
Katanya, pemandu dan penumpang diminta menunjukkan status mereka di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi.
“Jika mereka gagal berbuat demikian, individu tersebut dihalang menaiki bas kerana ini adalah arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi mereka yang lengkap vaksinasi merentas negeri.
“Mereka tidak akan dikompaun tetapi akan dihalang daripada menaiki pengangkutan awam tersebut. Buat masa ini, belum ada lagi individu yang tidak lengkap vaksin cuba menaiki pengangkutan awam,” katanya ketika ditemui selepas Op Bersepadu JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Timah Tasoh, di sini hari ini.
Sementara itu, Fatimah memberitahu, sebanyak 12 saman JPJ dikeluarkan dalam operasi tersebut manakala 17 kesalahan trafik daripada polis dan dua notis pula daripada JAS. – UTUSAN ONLINE