Tidak perlu MoU pembangkang, GRS di Sabah-Warisan - Utusan Malaysia

Tidak perlu MoU pembangkang, GRS di Sabah-Warisan

AWANG AHMAD SAH SAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak melihat keperluan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara pembangkang dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, Sabah tidak perlu terikut-ikut dengan kemahuan ahli-ahli politik di Semenanjung Malaysia.

Senario politik di Sabah tidak sama dengan Semenanjung Malaysia. Malah, masalah dan isu yang membelenggu rakyat Sabah juga berlainan dengan apa yang berlaku di Semenanjung.

“Apa yang menghairankan kenapa Pakatan Harapan (PH) rasa perlu ada kerjasama bipartisan dengan kerajaan GRS sedangkan perkara itu sudah dimeterai melalui MoU bersama kerajaan persekutuan.

“Ahli-ahli GRS juga terdiri daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang terpaksa patuh kepada kemahuan pemimpin mereka di peringkat Persekutuan.

“Jika dilihat tiada negeri lain di Malaysia yang menandatangani MoU sedemikian dengan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu katanya, pemimpin politik Sabah seharusnya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat Sabah dan jangan terlalu berpandukan kepada kemahuan ahli-ahli politik di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee baru-baru ini.

Teck Lee menyatakan sebarang perjanjian antara GRS dan parti pembangkang tidak bermakna tanpa penyertaan Warisan sebagai parti pembangkang utama di Sabah.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun terdapat perbincangan antara GRS dan PH namun, pemimpin PKR dan DAP Sabah tidak dapat membuat sebarang ketetapan kerana perkara itu memerlukan persetujuan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Justeru, sebarang perbincangan mengenai apa jua perjanjian kerjasama dengan parti pembangkang di Sabah secara realistiknya perlu melibatkan Warisan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN