Kepemimpinan Muhyiddin harus dikekalkan

Kepemimpinan Muhyiddin harus dikekalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya dikekalkan sehingga pemilihan berikutnya tanpa sebarang gerakan ‘tebuk atap’.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, sebarang usaha untuk mengubah kepimpinan parti, seharusnya dibuat mengikut proses demokrasi yang betul.

“Seeloknya kalau tanya saya, tunggulah selepas pemilihan. Jika PRU diadakan pada 2027, ini bermakna pemilihan akan dibuat sebelum pilihan raya. Jadi, ubahlah mengikut proses demokrasi yang betul,” katanya dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pada pemilihan yang lalu, Muhyiddin menang jawatan Presiden tanpa bertanding.

Razali yang juga bekas Ketua Penerangan berkata, beliau tidak tahu siapa yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) meminta Muhyiddin membuat peralihan kepimpinan kepada Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Saya pun tidak tahu masalahnya siapa yang menandatangani SD tersebut, saya sebagai Pengerusi Bersatu Negeri Terengganu, di bawah saya ada lapan ketua bahagian, tiada pun yang datang dan menyatakan perkara ini kepada saya.

“Jika terdapat sesuatu usul yang dibangkitkan, ia perlu dibincangkan di peringkat bahagian dan di peringkat bahagian itu perlu ada mesyuarat yang disokong separuh daripada perwakilan yang hadir. Itu cara yang sebetulnya mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Sebelum ini, kira-kira 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani SD meminta Muhyiddin membuat peralihan kepimpinan kepada Hamzah.

Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd. Saidi di mana SD itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan mengenai survival parti itu khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun, Ketua Pene­rangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, SD tersebut tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam perlembagaan parti untuk menentukan mana-mana jawatan dalam Bersatu termasuk Presiden yang kini disandang Muhyiddin.

Dengan itu, bukan sahaja kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden tidak tergugat, tetapi juga kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) se­perti diputuskan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN