SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan tiga bekas akauntannya berdepan 264 pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram bernilai keseluruhan RM40.01juta.
Bagaimanapun, tertuduh Nasiruddin, 66; Hamimah Yakub, 73, serta Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 44, bersama suaminya, Mohd. Khushairi Osman, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan.
Dalam prosiding yang memakan masa lebih empat jam bermula pukul 10 pagi itu, Nasiruddin berkerusi roda, didakwa 109 pertuduhan melibatkan transaksi menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM14 juta.
Hamimah pula berdepan 60 pertuduhan melibatkan jumlah RM710,000; Asmat @ Asmanira (41 pertuduhan, RM5 juta) dan Mohd. Khushairi (54 pertuduhan berjumlah RM20.3 juta.
Kesemua kesalahan didakwa melibatkan 10 akaun berbeza termasuk milik tertuduh, GISB Mart Sdn. Bhd, GISB Travel Sdn. Bhd dan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bangi, Rawang dan Subang Perdana antara 2020 hingga 2024.
Mereka dituduh di bawah Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen (4)1 akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara hingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – UTUSAN










