Inkues Zara Qairina: Ketua warden arah tutup telefon awam

Inkues Zara Qairina: Ketua warden arah tutup telefon awam

PEGAWAI polis membawa patung yang digunakan dalam simulasi jatuhan berkait kematian Zara Qairina pada inkues kematian pelajar itu di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah, semalam. – UTUSAN/SUWARNI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: ‘Tengkuk dia ada keluar darah. Kaki dia juga ada keluar darah sikit.’

Itu keadaan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir ketika ditemukan terlentang di longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.

Pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Linah Mansoding @ Jahila berkata demikian ketika ditanya peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.

“Masa saya meronda di Blok A (Asrama Rabiatul Adawiyah), tiada apa-apa perkara berlaku. Kemudian saya meronda ke blok sebelah (Blok B), Blok Sumayyah. Ketika di Blok Sumayyah, seorang pelajar datang (cakap) aunty, aunty ada budak pengsan.

“Saya tanya, apa itu budak punya bilik. Dia kata bukan bilik, mari mari, sini, sini. Bila sampai sana, saya tengok terlentang sudah. Mahu pegang tapi saya takut, dia tak sedarkan diri tapi masih bernafas.

“Lepas saya pergi tengok muka dia, saya tahu nama dia Zara. Selepas cam muka Zara, saya pergi ketuk bilik ketua pelajar,” kata wanita itu.

Tambahnya, dia memang me­ngenali Zara Qairina kerana mempunyai hubungan baik dengan semua penghuni asrama terbabit.

Menurut Linah, ambulan tiba di sekolah berkenaan kira-kira sejam kemudian dan seorang guru, Cikgu Norhashimah turut mengikuti ambulan terbabit untuk menemani Zara Qairina ke hospital.

Terdahulu, wanita terbabit menjelaskan, pada setiap hari akan ada seorang pengawal keselamatan bertugas ada waktu siang dan dua pengawal pada waktu malam. Semasa kejadian, seorang lagi pengawal yang bertugas pada malam itu sedang meronda di blok asrama lelaki.

Ujar Linah, aras bawah asrama Rabiatul Adawiyah antaranya menempatkan rumah warden, bilik prep pelajar Tingkatan Lima, bilik menggosok pakaian dan bilik untuk ketua-ketua pelajar.

Pada prosiding semalam juga, saksi berkenaan membuat ‘kejutan’ apabila mendedahkan bahawa ketua warden asrama bernama Ustaz Azhari telah mengeluarkan arahan agar telefon awam di sekolah berkenaan ditutup bagi mengelakkan penghuni asrama menghubungi keluarga asing-masing.

Shahlan: Masa Ketua Warden sampai, apa respon Ketua Warden?

Linah: Dia (Ketua Warden) cakap Astaghfirullahalazim, kenapa ini? Saya (cakap) tidak tahu Ustaz, saya sampai dia jatuh sudah.

Shahlan: Macam mana ke­adaan pelajar yang beritahu Puan?

Linah: Dia macam takut.

Shahlan: Selepas dua hari, ada pelajar-pelajar hubungi keluarga?

Linah: Tiada. Macam public phone (telefon awam) ditutup dua hari dua malam sebab takut budak-budak call (hubungi) ibu bapa.

Shahlan: Ada berapa public phone?

Linah: Blok A, tiga. Blok B, 3.

Shahlan: Tutup bagaimana?

Linah: Dorang bagi tutup suiz.

Shahlan: Siapa tutup suiz?

Linah: Ketua warden suruh tutup.

Pada awal prosiding, Linah memberitahu, penghuni asrama sekolah itu menggunakan telefon awam yang menggunakan kad prabayar untuk menghubungi keluarga.

“Kalau kad habis kredit, budak-budak guna telefon pengawal,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keberadaan guru-guru pada waktu kejadian, Linah memberitahu Ustaz Azhari tiba di lokasi kejadian selepas dia menghubungi ketua warden berkenaan. Ketua warden itu kemudian menghubungi warden-warden, Ustaz Rizani, Cikgu Ramatina, Cikgu Norhayati, dan Cikgu Norhashimah serta pengetua sekolah.

Shahlan: Apa respon cikgu-cikgu apabila ada di tempat kejadian?

Linah: Dorang tanya juga (apa berlaku) tapi saya cakap (tidak tahu) nampak dia sudah di bawah. Dorang juga (bertanya sesama sendiri) kenapa (jadi) begini.

Prosiding inkues bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×