PETALING JAYA: Tidak masuk akal apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kelulusan projek RM38.5 juta menaik taraf Kompleks Seri Perdana di zaman beliau sebagai Perdana Menteri Kelapan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu seolah-olah satu strategi untuk memesongkan perhatian rakyat daripada fakta utama yang sedang dipersoalkan secara hebat ketika ini.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin ketika itu telah meluluskan perbelanjaan yang besar untuk kediaman rasmi Perdana Menteri pada waktu negara sedang berdepan krisis pandemik Covid-19.
“Malah beliau mendakwa RM38.5 juta itu termasuk untuk perolehan perabot yang perlu dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana milik peribadi Perdana Menteri keenam (Najib) telah dipindah keluar,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, sudah memang menjadi hak Najib untuk mengambil barangan peribadinya apabila tidak lagi boleh menduduki kediaman rasmi tersebut.
“Sama seperti seorang pekerja yang meninggalkan pejabatnya apabila sudah tidak lagi berkhidmat. Lagipun Najib cuma mengambil barangan peribadinya dari Kompleks Seri Perdana berdasarkan senarai barangan dibenarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 18 November 2020 dan ada bukti yang jelas mengenainya.
“Kedua, jika Kompleks Seri Perdana sudah tidak lagi dilengkapi dengan perabot milikan peribadi Najib, maka bukankah wajar ia digantikan dengan perabot peribadi milik Perdana Menteri yang seterusnya.
“Mengapa perlu menggunakan wang negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat bagi menggantikan perabot peribadi milikan Najib yang telah tiada,” katanya.
Ahmad Zahid juga membangkitkan persoalan yang perlu dijawab Muhyiddin adalah mengapa beliau menggantikan perabot peribadi milikan Najib di Seri Perdana dengan menggunakan wang negara.
“Rakyat perlukan lebih bantuan, kerajaan Muhyiddin kata negara sudah tiada wang. Berbelanja untuk perabot kediaman rasmi Perdana Menteri diluluskan dengan begitu cekap dan pantas,” soal Ahmad Zahid lagi. – UTUSAN ONLINE