PETALING JAYA: Pembangunan aplikasi e-dagang dikenali sebagai Kongsi dijangka membuka peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Pertubuhan Kesatuan Organisasi Nasional Gabungan Saudagar Intelek SeMalaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid berkata, aplikasi berkenaan akan dikongsi di beberapa buah negara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia serta Jepun.
Katanya, aplikasi yang akan dilancarkan dalam tempoh enam bulan itu turut dilengkapi kemudahan ChatGPT, sekali gus menjadikan satu-satunya platform e-dagang yang mempunyai ciri-ciri tersebut.
“Sebagai permulaan, kita menyasarkan kira-kira 200,000 pengguna yang akan memanfaatkan aplikasi ini selepas ia dilancarkan kira-kira enam bulan dari sekarang.
“Sekarang, aplikasi ini sedang dibangunkan dan akan melalui tempoh percubaan. Selepas siap sepenuhnya, saya yakin aplikasi ini akan digunakan bukan sahaja di Malaysia, malah ke beberapa buah negara lain.
“Ini kerana kita mendapat kerjasama baik dengan beberapa persatuan peniaga di negara terbabit yang turut menjadi sekretariat dalam aplikasi ini,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi itu semalam.
Majlis pelancaran dirasmikan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, dengan sokongan lebih 13,000 ribu ahli berdaftar dengan pihaknya serta puluhan rakan niaga di rantau ASEAN, pihaknya yakin aplikasi itu mampu bersaing dengan aplikasi e-dagang lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang. – UTUSAN