BATU PAHAT: Tidak pulang selepas keluar menjaring ikan, dua orang nelayan di Kampung Muhibbah di Peserai ditemui lemas di Kuala Sungai Suloh di sini petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan daripada salah seorang anak mangsa pada pukul 12.20 tengah hari semalam yang mengatakan kedua-dua nelayan tersebut tidak pulang ke rumah sejak keluar menjaring ikan pukul 3 petang pada 25 April.
Katanya, sejurus menerima laporan kejadian, Bot PETIR 51 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan untuk melakukan tugas mencari dan menyelamat.
“Mangsa pertama, Mahat Rasiman, 77, ditemukan pada pukul 1 petang diikuti Mohamad Nizam Sarman, 51, kira-kira 45 minit kemudian di kedudukan sekitar 0.3 batu nautika barat daya Kuala Sungai Suloh.
“Kedua-dua mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut selepas tergelincir dari dalam bot gentian kaca yang dinaiki ketika keluar menjaring,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Mohammad Zaini, kedua-dua mangsa ditemukan sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk diserahkan kepada pihak polis bagi proses bedah siasat dan pengecaman ahli keluarga. – UTUSAN