KADANG-KADANG, penyanyi, jika rezeki tepat di landasan kerjaya seninya, tidak sampai sehari pun mampu mencipta budaya hiburan baharu, malah membentuk peminat dan pendengarnya tersendiri. Namun, Tuhan tidak mencatur perjalanan hidup sebegitu untuk penyanyi, Syazwan Shuhaimi.
Tahun berganti tahun, hinggalah genap 10 tahun usianya dalam industri hiburan Malaysia yang penuh fana ini. Sejak 2015, langkahnya dalam industri muzik tempatan masih sekangkang kera.
Begitu juga pendengar masih belum terbuka hati menerima karya-karyanya sebagai produk boleh jual dalam pasaran tempatan dan arus perdana.
Sebagai penyanyi pop balada, karya adik kepada pelakon, Eira Syazira ini tidak sesekali tersasar daripada apa yang sewajarnya diketengahkan dalam pasaran muzik negara. Jika Itu, Sang Purnama,
Cinta Tak Mengerti dan Cinta Ke Syurga bukti Syazwan berusaha sehabis baik untuk memenuhi kehendak pasaran.
Namun kesemuanya tidak memberi anjakan untuk Syazwan bergerak lebih jauh sehingga dia merakam lagu penyanyi kumpulan dari Indonesia, Wali Band berjudul Puaskah. Sebagai kerjasama pertamanya dengan label muzik, Positif Art Music, maka, saya anggap sebagai permulaannya menembusi pasaran muzik republik itu.
Sejak 16 tahun lalu, Puaskah bergenre pop Melayu moden dan tradisional antara lagu kegemaran saya dalam album Wali Band, Cari Jodoh dengan gabungan beberapa gabungan instrumen yang dirasakan sesuai ketika itu.
Syazwan pula memberi Puaskah satu nafas baharu dalam rentak mellow dan sarat baladanya yang berbeza dengan persembahan Wali Band. Dari awal melodi dan pengakhirannya, saya benar-benar tersentuh dengan nyanyiannya.
Tetapi, saya tidak boleh menafikan kekuatan dalam lagu asal yang tetap ada nilai sentimentalnya menerusi instrumen muzik bertali seperti di awal lagu.
Saya kira, penggubah lagu dan jurutera bunyinya bijak menggunakan teknologi kini untuk menghasilkan satu jaluran melodi kedengaran mendalam, lebih besar tetapi tenang walau format seperti ini sudah banyak duluannya.
Persembahan sebegini mengingatkan saya pada penyanyi Indonesia, Danang Pradana, yang merakam semula lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu nyanyian kumpulan Ukays atau Dayang Nurfaizah (Hakikat Cinta 2025).
Oleh yang demikian, Syazwan tidak mempunyai masalah dari segi penghayatan untuk lagu mellow seperti ini kerana dia sudah mengikat pendengaran saya dengan penyampaian yang menyentuh.
Walaupun jumlah pengikutnya tidak sebesar Anuar Zain, tetapi, Syazwan tetap menghiburkan pengikutnya tersendiri dengan lagu yang menjadi norma dan kebiasaan rakyat Malaysia.
Ketika dia masih belum ada karya yang kuat dan boleh dijadikan sebagai pemberat dalam portfolio muziknya, maka, saya meletakkan harapan besar terhadap Puaskah untuk menjadi produk membawanya di tahap lebih tinggi walaupun hanya sekadar lagu saduran penyanyi seberang.
Tetapi, seboleh-bolehnya, saya tidak mahu orang melihat Syazwan hanya di tahap penyanyi saduran atau terkenal menerusi lagu milik orang lain, apatah lagi jika lagu tersebut lebih popular 20 kali ganda.
Saya akui Syazwan menpunyai pakej cukup untuk berdiri sebagai penyanyi, namun dia masih perlu mencari identiti lebih kukuh dan bukan sekadar penyanyi menyambung atau mengisi ruangan pop balada yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.