Tiada rancangan menghadap Agong - Adly Zahari - Utusan Malaysia

Tiada rancangan menghadap Agong – Adly Zahari

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MELAKA: Pakatan Harapan negeri setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Pengerusinya, Adly Zahari.

Beliau menjelaskan, segala usaha buat masa ini hanya berfokuskan kepada membawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke mahkamah untuk diadili.

“PH Melaka setakat ini tiada rancangan bertemu Seri Paduka.

“Fokus kini untuk membawa pembubaran DUN ke mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya sebentar tadi.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong menempelak ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee berhubung kenyataan akhbar dikeluarkannya malam tadi, berkenaan kunjungan 15 ADUN Melaka ke Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Norhizam sebelum ini memberitahu, kunjungan tersebut adalah untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka berhubung ketidakpuasan hati mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kelmarin.

Chee Leong yang membuat kenyataan dalam laman sosial Facebook miliknya berkata, beliau menafikan kenyataan Norhizam dan memberi amaran supaya berhenti mencemarkan nama PH.

Jelasnya, Adly juga telah menafikan perkara tersebut.

“Merujuk kepada pengumuman Norhizam malam ini (semalam), ADUN PH dan empat orang ADUN yang isytihar tidak lagi sokong kerajaan PN akan mengadap Agong, Adly telah menafikan perkara ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa Norhizam harus berhenti mencemarkan nama baik PH, kerana bukan semua ADUN PH menerimanya sebulat suara. Jangan juga bermimpi DAP akan terima dia sebagai rakan.

“Tidur awal, jangan mimpi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN