Tiada penyelewengan benih padi - Menteri - Utusan Malaysia

Tiada penyelewengan benih padi – Menteri

RONALD Kiandee (kiri) memasukkan produk makanan ke dalam lori sebelum dihantar ke Singapura untuk diberi kepada rakyat Malaysia sempena lawatan kerja bagi tinjauan Aktiviti Rantaian Pengeksportan Produk Pertanian Segar Malaysia ke Singapura di Pejabat FAMA, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyangkal dakwaan berlakunya penyelewengan pembekalan benih padi yang menjejaskan jadual tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, perkara itu sebaliknya disebabkan permintaan tinggi terhadap varieti padi MR 297 sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi pada musim ini.

Katanya, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras bersama agensi lain sudah mengambil tindakan yang perlu bagi mengatasi masalah yang dihadapi para pesawah.

“Isu benih padi yang dilaporkan di Kedah dan Perlis tidak seserius seperti musim-musim yang lalu dan ia lebih kepada isu varieti padi yang dikehendaki pesawah. 

“Kementerian sudah ambil langkah yang perlu bagi mengurangkan isu pengedaran benih ini. Isu ini perlu diambil tindakan dan penyelesaian segera untuk elak masalah lebih besar dihadapi pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi sidang video dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura bagi memperkasa eksport agro-makanan ke Singapura, di Pejabat FAMA Negeri Johor, di sini hari ini.

Selasa lalu, akhbar melaporkan Badan Bertindak Petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual penanaman.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain, mendakwa pihaknya kecewa apabila masalah pengagihan benih padi masih berterusan sejak tiga tahun kebelakangan ini, selain tiada penyelesaian diambil kerajaan melalui kementeriannya.

Sehari kemudian, Jabatan Pertanian dilaporkan memberi jaminan benih padi mencukupi bagi keperluan pesawah melaksanakan penanaman musim 2/2021 di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung.

Menurut jabatan itu, berdasarkan data hingga 10 Oktober lalu, sebanyak 52,922.5 tan metrik benih padi sedang dalam proses pengesahan dan jumlah itu mencukupi untuk keperluan mengikut jadual penanaman di Kedah dan Perlis hingga akhir November depan.

Mengulas lanjut, Ronald memberitahu, penetapan harga siling RM35 bagi setiap beg ditetapkan Benih Padi Sah (BPS) yang diambil kementerian pada Februari lalu, telah mengurangkan isu penyelewengan atau manipulasi benih padi.

“Kita tidak menafikan sebelum ini ada berlaku penyelewengan benih padi, namun isu itu bukanlah isu baru dan sentiasa dibaiki termasuk dengan penetapan harga siling BPS.

“Langkah penetapan harga siling benih padi kepada maksimum RM35 bagi setiap beg adalah tindakan yang dapat kurangkan isu pengelewangan dan penyorokkan. Jadi, tiada ruang untuk manipulasi demi menjaga masa depan pesawah negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.