PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumpulkan maklumat sebelum memulakan siasatan berhubung kewujudan sebuah bangunan empat tingkat yang didakwa dibina secara haram oleh warga asing di Sungai Tekali, Hulu Langat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu tular berkenaan dan pengumpulan maklumat akan dilakukan terlebih dahulu.
“Kita (SPRM) ambil maklum. Pihak kami akan mengumpulkan maklumat di dalam melakukan siasatan awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mengesa SPRM mengambil tindakan tegas terhadap kewujudan bangunan empat tingkat yang didakwa dibina warga asing secara haram di Sungai Tekali, Hulu Langat.
MCW juga mengesa pihak berkuasa lain termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu melakukan siasatan menyeluruh terhadap bangunan itu yang kini viral di media sosial.
Katanya, pihaknya mengambil maklum bahawa premis berkenaan pernah diserbu dalam operasi bersepadu Februari tahun lalu yang membawa kepada penahanan puluhan warga asing oleh Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun, persoalan yang masih belum terjawab ialah mengapa isu berkenaan dilihat berlarutan sehingga hari
Jais berkata, laporan status sebenar bangunan itu juga perlu didedahkan kepada orang ramai bagi mengelakkan spekulasi dan sentimen perkauman.
Sebelum ini, tular dakwaan etnik Rohingya didakwa membina kediaman seakan flat empat tingkat secara tidak sah di kawasan terpencil di Sungai Tekali.
Pendedahan itu dilakukan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, yang secara kebetulan melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan. – UTUSAN










