Malaysia kekal jadi pilihan pelabur Jepun

Malaysia kekal jadi pilihan pelabur Jepun

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa syarikat utama dari Jepun yakin untuk meneruskan pelaburan di Malaysia kerana melihat negara ini sebagai rakan strategik dan boleh dipercayai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara berkenaan dimaklumkan dalam beberapa pertemuan antara delegasi Malaysia dan pemain industri utama Jepun sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.

“Dalam pertemuan kami dengan pemain industri di Jepun, kami mendapati majoriti daripada mereka menantikan untuk meneruskan pelaburan mereka di Malaysia.

“Banyak sektor yang dia lihat, salah satunya mereka mengakui betapa meyakinkan Malaysia untuk membekalkan LNG kepada mereka,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar penutup lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun hari ini.

Johari berkata, selain sektor tenaga, pelabur Jepun turut menunjukkan minat terhadap beberapa industri strategik termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF), semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

Beliau berkata, syarikat Jepun melihat potensi kerjasama yang lebih luas dalam sektor hiliran berkaitan pengeluaran dan teknologi negara itu.

Katanya, kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh pelabur bukan berkaitan dasar, sebaliknya melibatkan perkara teknikal dan operasi yang memerlukan tindakan susulan segera daripada kerajaan.

“Ada banyak isu yang mereka bangkitkan, tapi kebanyakan isu itu sangat teknikal dan melibatkan operasi. Jadi saya bagi mereka keyakinan bahawa saya sendiri akan memantau perkara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Johari berkata, kerajaan komited untuk mempercepatkan pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap semua komitmen yang telah dipersetujui bersama pelabur.

Katanya, tempoh dua tahun akan datang amat penting dalam usaha menarik pelaburan baharu kerana syarikat global sentiasa menilai destinasi terbaik untuk mengembangkan operasi mereka.

“Jadi, dalam konteks ini, Perdana Menteri telah banyak kali pesan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa segala perkara yang telah dipersetujui dengan mereka ini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan susulan dan pelaksanaannya dilakukan dengan berkesan.

“Mereka menantikan perkara itu. Saya bersama MIDA dan MITI telah memberikan komitmen bahawa kita tidak mahu melengah-lengahkan proses tersebut kerana peluang pelaburan yang ada ketika ini hanya terbuka kepada kita dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Selepas tempoh itu, mereka mungkin memilih destinasi lain untuk pelaburan mereka,” katanya.

Tambah beliau, keupayaan kerajaan mempercepatkan proses pelaksanaan serta memenuhi komitmen kepada pelabur akan menjadi faktor utama dalam memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan syarikat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN