PASIR MAS: Seorang lelaki yang mengambil upah menghantar air ketum di sekitar daerah ini dengan kadar bayaran RM100 sehari dicekup polis dalam serbuan di Kampung Padang Embun, di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 7.30 malam itu, polis turut merampas 357 liter air ketum dan daun ketum seberat 180 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM8,970.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan semasa dia berada dalam kereta jenis Proton Wira di depan sebuah rumah.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas kereta telah menjumpai air ketum sebanyak 357 liter dan daun ketum seberat 180 kg. Saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, suspek mendakwa air ketum dan daun ketum itu dibekalkan seorang lelaki dikenali sebagai Tan.
“Suspek mengaku mendapat upah sebanyak RM100 sehari daripada Tan sebagai penghantar air ketum kepada pelanggan,” katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN