fbpx

“Tak apa, saya tak perlu kontroversi”- Azira Shafinaz

NAMANYA sedang mengharum di laman seni. Saban hari, ada sahaja pujian yang diterima. Lakonannya dalam Penunggang Agama 2 cukup memberi kesan. Tidak hairan ramai yang sudah mula jatuh cinta.

Azira Shafinaz. Orangnya cukup santai, bersahaja dan manis. Tetapi dalam manjanya, ada ketegasan. Dia menghormati semua, namun jaga-jaga. Jangan merendahkan kemampuan dan bakatnya.

Ketika ditanya adakah dia berpuas hati dengan pencapaian seninya setakat ini, dia menggeleng. Tidak sama sekali. Barangkali itu yang berlegar dalam fikirannya. Baginya, jauh lagi perjalanan.

Belum boleh menelan puas. Apatah lagi ‘berehat’. Bakat harus terus digembleng, supaya yang tajam terus dijaga, yang tumpul boleh diasah. Tiada titik noktah, cuma yang ada semangat dan iltizam.

“Jauh lagi kalau ada yang cakap saya sudah hebat. Setakat ini, ya saya boleh tersenyum tetapi itu bukan tanda berhenti. Mengenali diri ini, saya bukan jenis yang suka duduk diam. Saya suka mencuba sesuatu.

“Mencabar diri melakukan sesuatu di luar norma dan keselesaan. Saya juga masih baru dan akan kekal begitu. Setiap hari ada sahaja ilmu yang diperoleh. Mana mungkin kita boleh berpuas hati kan?” katanya.

Berbicara dengan Azira, dia sangat mudah melontarkan jawapan dalam kematangan. Dia tidak teragak-agak dan tegas dalam melontarkan isi hati. Saya dan dia juga bukan setahun berkenalan, sudah lama.

Seingat diri, saya antara yang pertama memotretkan dia dan kumpulannya, DeFam sebagai wajah sampul hadapan. Tetapi itu semua cerita dahulu. Dia juga memecut laju dalam industri, tidak berpaling.

“Kami bermula daripada bawah. Ketika itu tiada siapa yang kenal DeFam. Apatah lagi Azira Shafinaz. Tetapi saya percaya dengan bakat dan kemampuan diri. Langkah demi langkah kami tempuh.

“Ada turun naiknya dalam industri. Mana mungkin semuanya sempurna. Tetapi saya tahu, itu lumrah dan kami berjaya melaluinya bersama. Tiada yang mustahil jika kita berbekalkan niat baik dan usaha tanpa lelah,” katanya.

“Wanita tidak lemah”

Kehadiran Azira dalam industri seperti tiada kontroversi panas yang menghurungi. Tiada cerita sensasi yang boleh memalit lumpur. Sekadar kritikan terhadap pengacaraan dan kisah ‘cinta atau tidak’ dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad.

Tetapi bab itu kita tolak tepi. Dia sebolehnya tidak mahu menjawab soalan tentang cinta. Sementelah, sudah acap kali dia menegaskan mereka sekadar berkawan. Jadi tak perlu kita bedah dan korek lagi.

Sengaja saya mengajukan soalan, adakah dia memilih untuk tidak mencipta kontroversi atau sebenarnya, frekuensi seninya yang tidak mudah dicalar? Adakah dia selesa dengan keadaan begini?

“Ya, sangat selesa. Tak ada kontroversi panas, cerita sensasi. Itu membuatkan saya selesa. Peminat mengenali saya kerana bakat. Itu yang saya mahu. Bukan kerana cerita-cerita panas atau gosip liar.

“Saya seorang yang sangat mementingkan privasi. Kehidupan tidak kira soal cinta atau keluarga, saya lebih suka diamkan sahaja. Tak perlu mencanag apa-apa. Yang penting, kerjaya seni saya berjalan seperti biasa,” katanya.

Di tangga usia 30 tahun, pastinya dia memiliki prinsip diri. Walaupun perjalanan seninya baru menjengah ke angka enam tahun ini, dia telah melalui pelbagai fasa turun naik. Malah berdiri sebagai seorang wanita dalam industri juga, tidak mudah.

Ditanya apakah pendapat peribadinya terhadap isu wanita yang dipandang rendah dalam industri, Azira mengambil masa sebentar. Untuk menyusun ayat supaya tidak ada yang terguris hatinya.

“Saya rasa, tidak kira lelaki atau wanita, kita sama. Masing-masing punya persepsi dan matlamat sendiri. Kami DeFam juga sering menyanyi lagu memartabat wanita. Kami percaya itu.

“Wanita tidak lemah. Walaupun ada mentaliti segelintir pihak yang menidakkan itu tetapi, bagi saya jangan merendahkan dan melabel wanita. Seperti DeFam, kami usaha sendiri untuk menaikkan nama,” katanya.

DeFam masih ada

Alang-alang dia membuka bicara tentang DeFam, tergerak juga untuk saya bertanya adakah dia masih bersama Sophia dan Cik Manggis. Seperti sudah lama tidak mendengar perkhabaran seni kumpulan itu.

Kali terakhir mereka mengeluarkan single adalah sekitar 2019 menerusi lagu Panas. Selepas itu, nama mereka suam-suam sahaja. Masing-masing meneruskan kerjaya seni tanpa DeFam bersama.

“DeFam? Masih ada. Tetapi kami memperlahan aktiviti seni berkumpulan kerana fokus dengan kerjaya seni individu. Tapi jangan risau, kami sudah berjanji untuk mengeluarkan single baharu. Tetapi pandemik pula.

“Kami memang nak sangat ada single baharu. Lagipun kami fikir, takkan DeFam sampai di sini sahaja kan? Tak mungkinlah. Cuma kali ini, kami lebih matang. Baik dari segi muzik dan konsep,” katanya.

Namun kehadiran banyak artis wanita berkumpulan kini menambahkan lagi persoalan adakah DeFam mampu bertahan? Adakah mereka mahu memperlahan terus kerjaya berkumpulan?

“Kami tidak rasa peminat akan lupa DeFam. Kami yang pertama menaikkan semua nama kumpulan wanita selepas sekian lama tiada. Saya juga percaya, DeFam ada impak sendiri. Mereka bukan sahaja sokong kami secara berkumpulan tetapi individu juga.

“Untuk memperlahan kerjaya kerana kehadiran ramai pesaing, itu tidak benar sama sekali. Saya lagi suka dan seronok bila ada ramai penyanyi wanita hadir secara berkumpulan.

“Kadang-kadang bila kami tengok persembahan mereka, masing-masing meluahkan rasa rindu beraksi di pentas. Menyanyi, menari dan bergembira. Tetapi tak lama lagi okey?” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!