Natasha raih naib juara USBC Queens

Natasha raih naib juara USBC Queens

Natasha Mohamed Roslan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain boling tenpin negara, Natasha Mohamed Roslan menutup kempen cemerlang Jelajah Profesional Boling Wanita (PWBA) di Kejohanan USBC Queens 2026 apabila muncul naib juara di Gold Coast Hotel & Casino, Las Vegas, kelmarin.

Lebih membanggakan, Natasha mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain ketiga dalam rekod kejohanan itu yang berjaya melakukan dua permainan sempurna 300 mata dalam satu edisi, sekali gus mengukuhkan statusnya antara pemain elit dunia.

Natasha meluahkan rasa syukur dan puas dengan pencapaian tersebut, selain menyifatkannya sebagai antara detik terbaik dalam kariernya.

“Alhamdulillah, saya memang gembira dengan keputusan ini sebab USBC Queens ni antara tournament terbesar dalam PWBA.

“Setakat ni boleh kata ini antara pencapaian terbaik saya juga, lagi-lagi ini kali pertama saya masuk stepladder finals dekat PWBA dan dapat naib juara.

“Saya juga ada buat dua perfect game berturut-turut masa qualifying, so memang banyak benda positif saya boleh ambil dari kejohanan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memulakan saingan match play selaku pilihan ke-38, beliau mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila mara ke pentas stepladder final sebagai pilihan kedua keseluruhan.

Di separuh akhir, Natasha menewaskan wakil Singapura, New Hui Fen 227-205 untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun, hasrat merangkul gelaran juara tidak kesampaian apabila beliau tewas 204-225 kepada pemain tuan rumah, Erin McCarthy yang muncul juara, manakala

New Hui Fen menamatkan saingan di tempat ketiga.

Selain Natasha, Malaysia juga turut menghantar Sin Li Jane, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Gillian Lim, Nur Syazwani Sahar, Nur Hazirah Ramli dan Faten Najihah Ahmad Faik dalam kejohanan berprestij itu.

Dalam pada itu, kejayaan Natasha di pentas antarabangsa itu juga turut menjadi satu motivasi terbaik buatnya menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia yang bakal membuka tirai pada 25 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN