Sultan Johor mahu kementerian rangka pelan pelancongan sistematik - Utusan Malaysia

Sultan Johor mahu kementerian rangka pelan pelancongan sistematik

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Dr. Santhara Kumar di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu merangka satu pelan pembangunan pelancongan negeri Johor yang sistematik bagi tempoh jangka masa yang panjang.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah demikian kerana negeri itu merupakan antara destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Titah baginda, setiap daerah di Johor mempunyai tarikan pelancongan yang tersendiri termasuk keindahan pulau-pulau di Mersing. 

“Terdapat banyak lokasi menarik di Johor yang boleh dikunjungi pelancong dan pada masa sama kementerian perlu memastikan setiap polisi dan insentif yang ditetapkan adalah konsisten bagi menarik lebih ramai pelabur serta pelancong.

“Saya menyentuh dan membincangkan pelbagai perkara bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar antaranya berkaitan sektor pelancongan negara dan Johor,” titah baginda dalam kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, pertemuan Sultan Ibrahim bersama Santhara Kumar diadakan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru di sini.

Baginda turut bertitah, antara yang dibincangkan termasuklah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menarik kedatangan lebih banyak pelancong ke negara ini.

“Pelan pembangunan itu juga penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan di setiap daerah serta mempromosikan produk-produk keluaran tempatan,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN