Sudah letak jawatan Exco, aset kerajaan kenalah pulangkan - KM Melaka - Utusan Malaysia

Sudah letak jawatan Exco, aset kerajaan kenalah pulangkan – KM Melaka

SULAIMAN Md. Ali beramah mesra dengan dua daripada enam beradik yatim piatu selepas majlis penyerahan kunci rumah LPM dengan kos RM40,000 di Kampung Tangga Batu Pekan, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bersama dua rakannya meletakkan jawatan sebagai Exco, secara automatik semua aset milik kerajaan negeri termasuk kenderaan rasmi perlu dipulangkan segera, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Sulaiman berkata, Norhizam perlu berbuat demikian untuk mematuhi peraturan dan prosedur yang telah diguna pakai, sejak pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Selain itu, jelasnya, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu juga perlu mengosongkan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) yang beroperasi di Bachang kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ujarnya, sewaktu Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH telah mengarahkan semua 28 Japerun dikosongkan dengan segera dan peraturan itu adalah terpakai apabila kerajaan negeri hilang majoriti pada Isnin lalu.

“Sehubungan itu, semua aset milik kerajaan negeri perlu dipulangkan segera, melainkan Exco yang masih kekal di bawah kerajaan negeri sementara bersama saya.

“Bagi Norhizam yang tidak lagi menjadi Exco kerajaan negeri selepas menghantar surat peletakan jawatan serta-merta kepada saya dan Pejabat Yang Dipertua Negeri, beliau bersama tiga bekas ADUN kenalah pulangkan pejabat Japerun dan kenderaan rasmi.

“Mereka tidak lagi bersama kerajaan negeri yang ada, jika tidak cukup masa untuk pulangkan semua aset kerajaan, perkara itu boleh dirunding dengan pegawai Pejabat Daerah dan Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci rumah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembinaan rumah baharu, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) kepada enam adik-beradik yatim piatu di Kampung Tangga Batu Pekan di sini.

Terdahulu Utusan Online melaporkan, Norhizam yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka berkata, hanya akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama.

Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sudah dibubarkan, tetapi beliau berasa hairan kerana hanya tiga Exco termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian.

Dalam pada itu, Sulaiman menambah, semua ADUN sama ada kerajaan atau pembangkang perlu memulangkan pejabat Japerun dalam tempoh seminggu.

Jelasnya, kesemua 28 Japerun telah diarahkan untuk mengosongkan pejabat dan perlu meninggalkan aset milik kerajaan, sebelum ia diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah manakala penyelenggaran pula diuruskan oleh Pejabat Penghulu.

Setakat semalam, hanya ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sahaja telah memulangkan aset kerajaan pada Khamis lalu, manakala ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad pula meminta untuk menangguhkan pemulangan aset sehingga Isnin ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN