PETALING JAYA: Keterangan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berhubung dakwaan membabitkan penyelewengan royalti projek tambakan laut telah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, keterangan berkenaan diambil SPRM petang semalam di sebuah lokasi.
Kata sumber itu, maklumat yang diperoleh seterusnya dihantar ke ke Ibu pejabat SPRM, Putrajaya untuk dianalisis dan diteliti sebelum tindakan lanjut.
“SPRM telah berjumpa beliau pada petang semalam untuk mendapatkan maklumat sepertimana kenyataan beliau kepada media sebelum ini,” katanya ringkas.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini, Idris mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir yang menyebabkan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
SPRM dalam reaksi segera turut memaklumkan memandang serius dakwaan Idris dan akan menghantar pegawai untuk bertemu dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Menurut SPRM, mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama. – UTUSAN ONLINE