PETALING JAYA: Malaysia bersedia untuk menyokong dan melengkapkan segala usaha dalam merealisasikan rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi mengembalikan keamanan serta kestabilan bukan sahaja di Asia Barat bahkan di seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dengan sepenuh hati mengalu-alukan perkembangan terkini dalam konflik antara AS dengan Iran susulan kesediaan kedua-dua pihak untuk melaksanakan gencatan senjata.
Katanya, perkembangan positif itu susulan pelan 10 perkara yang dicadangkan Iran diterima secara positif oleh AS, hari ini.
“Cadangan ini memberi petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh dunia.
“Adalah diharapkan agar proses rundingan dijalankan dengan penuh kejujuran, dengan tekad yang kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi oleh rantau ini,” katanya dalam di Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, rundingan damai yang bakal diadakan tidak akan berjaya jika prosesnya diselubungi penipuan dan muslihat dua muka.
Katanya, adalah penting supaya pelan sepuluh perkara ini diterjemahkan menjadi satu perjanjian damai yang menyeluruh.
“Bukan sahaja untuk Iran, tetapi juga bagi Iraq, Lubnan dan Yaman. Selain itu, pihak-pihak yang terlibat perlu memastikan penamatan pembunuhan beramai-ramai dan perampasan hak rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.
Perdana Menteri juga turut merakam ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang tidak mengenal penat lelah dan penuh keberanian, membantu membawa kepada detik bersejarah tersebut.
“Kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak, tanpa rasa takut atau berat sebelah, mencerminkan tradisi tertinggi solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa. Malaysia bersedia untuk menyokong serta melengkapkan segala usaha dalam perkara ini,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia turut menyeru komuniti antarabangsa supaya memastikan akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat peperangan ini.
“Biarlah ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan. Dunia tidak mampu untuk menerima apa-apa yang kurang daripada itu,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu di Asia Barat, Iran dan AS bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu bagi mengadakan rundingan menamatkan perang bermula Jumaat ini di Islamabad, Pakistan.
Menteri Luar Iran, Abbad Araghchi berkata, bagi tempoh dua minggu ini, Selat Hormuz akan dibuka dan dibenarkan dilalui di bawah pengawasan serta penyelarasan Angkatan Tentera Iran.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump bersetuju untuk menghentikan pengeboman ke atas Iran selama dua minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, dengan syarat Tehran membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz yang strategik.
Beliau turut menyatakan Iran telah menghantar pelan 10 perkara kepada AS yang disifatkannya mampu dilaksanakan untuk rundingan.
“Tertakluk kepada Republik Islam Iran bersetuju untuk pembukaan sepenuhnya, segera dan selamat di Selat Hormuz, saya bersetuju untuk menggantung pengeboman dan serangan terhadap Iran untuk tempoh dua minggu.
“Ini akan menjadi gencatan senjata dua hala! Sebabnya adalah kerana kita telah mencapai dan melebihi semua objektif ketenteraan dan kini sangat hampir memeterai perjanjian muktamad mengenai keamanan jangka panjang dengan Iran, serta keamanan di Asia Barat,” katanya.-UTUSAN










