Bina sendiri tembok kekang hakisan pantai - Utusan Malaysia

Bina sendiri tembok kekang hakisan pantai

SEORANG pekerja chalet Kampung Inn, Abdul Hadi Abdullah menunjukkan tembok gabion yang dibina di Pantai Cherating Lama di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengurusan Chalet Kampung Inn di Pantai Che­rating Lama di sini, bertindak membina tembok gabion sepanjang 36 meter bagi mengekang hakisan pantai yang semakin kritikal sejak September 2024.

Pengusahanya, Tunku Datuk Anne Noraini Tunku Ismail berkata, ia mula dibina Ramadan lalu dan siap pada 15 Mac lalu melibatkan kos melebihi RM49,000.

Katanya, langkah itu diambil selepas tiada maklum balas da­ripada pihak berwajib berhubung peruntukan untuk membina benteng penahan hakisan di kawasan berkenaan.

“Sejak beberapa bulan lalu, hakisan pantai semakin membimbangkan sehingga menumbangkan puluhan pokok ru dan kelapa selain menghakis tanah chalet daripada empat hektar kepada hanya tiga hektar.

“Jika tiada tindakan pemuliharaan segera oleh pihak berwajib, bukan sahaja chalet ini lenyap, malah imej Cherating sebagai destinasi pelancongan juga terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tunku Anne Noraini berkata, hakisan pantai yang semakin agresif turut menjejaskan keselamatan pelancong kerana jarak antara bangunan chalet dengan garis pantai semakin dekat.

Menurutnya, selain menjejaskan operasi perniagaan, keadaan itu menimbulkan kebimbangan keselamatan kepada pengunjung yang datang bercuti di kawasan berkenaan.

“Kami berharap pihak berwajib segera tampil dengan pelan pemuliharaan yang menyeluruh agar Pantai Cherating Lama tidak terus hilang ditelan ombak,” katanya.

Ujarnya, tindakan segera penting bagi memastikan ke­langsungan ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.

“Cherating yang terkenal de­ngan keindahan pantai dan tarikan pelancongan kini berdepan risiko kehilangan daya tarikannya jika masalah ini tidak dita­ngani segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN