RANTAU PANJANG: Pemikiran ‘di luar kotak’ seorang lelaki menyembunyikan 93,200 batang rokok seludup hanya sia-sia kerana dapat dikesan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dalam di sebuah rumah di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh semalam.
Dalam serbuan pukul 6 pagi itu, Batalion 7 PGA menahan lelaki berusia 57 tahun itu yang turut sebagai tuan rumah selain merampas wang tunai berjumlah RM58,108 dipercayai hasil jualan rokok seludup.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Superintenden Azhari Nusi berkata, nilai keseluruhan rampasan rokok seludup termasuk wang tunai terbabit dianggarkan berjumlah RM128,008.
“Serbuan di lokasi dilakukan hasil maklumat diterima Batalion 7 PGA menerusi Op Kontraban. Pada mulanya kita menahan suspek yang mengaku sebagai tuan rumah. Sambil disaksikan suspek, anggota PGA telah membuat pemeriksaan di dalam bilik utama.
“Hasilnya kita telah menjumpai satu ruang di bawah lantai bilik tersebut yang dipenuhi bertugas rokok seludup dengan jumlah keseluruhan 93,200 batang rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam satu lagi kes berasingan, beliau memberitahu Batalion 7 PGA merampas 47,960 batang rokok putih termasuk kretek yang disembunyikan seorang lelaki dalam kereta di Kampung Gong Kala, Pasir Puteh pada pukul 3.30 pagi ini
Katanya, selain menahan suspek berusia 21 tahun, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM15,583 dipercayai hasil jualan rokok seludup dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM59,900.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










