MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengadakan perbincangan bersama parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi menggubal prosedur operasi standard (SOP) lebih adil.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau bimbang SOP yang dibuat itu hanya menguntungkan sebelah pihak, apabila SPR membuat keputusan bersendirian.
Menurut beliau, tindakan berkenaan hanya memperlihatkan SPR sebagai sebuah badan yang tidak bebas, tidak adil dan tidak berkecuali kerana hanya memihak kepada kerajaan memerintah.
“SPR boleh berunding dengan semua parti politik untuk pastikan SOP tidak menghalang perjalanan pilihan raya.
“Sebagai satu amalan demokrasi berfungsi agar rakyat dapat berinteraksi dan menjalankan tugas sebagai pemilih, mendapat semua maklumat yang mereka berhak terima. Jangan satu belah pihak sahaja,” katanya dalam sidang akhbar lawatan DAP Pusat sempena PRN Melaka di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, SPR perlu bertindak profesional dalam setiap perkara yang hendak diputuskan.
Jelasnya, kesilapan semasa mengumumkan tarikh pilihan raya dan status vaksinasi untuk layak mengundi, hanya menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan serta kredibiliti SPR.
“Semalam ada dua kesilapan berkaitan tarikh dan status vaksinasi. Apakah yang tidak lengkap dua dos tidak boleh mengundi? Ini sesuatu yang tidak berpelembagaan.
“Semua pemilih berhak mengundi sama ada mereka dapat dua dos vaksin atau tidak, Covid-19 juga tidak disebut dalam perlembagaan,” jelasnya.
Semalam, SPR memaklumkan akan mengenakan SOP yang ketat seperti syarat vaksinasi pada PRN Melaka.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap pengundi yang didapati melanggar SOP berkenaan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan berasingan, SPR kemudian menafikan vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk pemilih mengundi pada PRN Melaka sepertimana dilaporkan beberapa agensi media. – UTUSAN ONLINE










