Kehadiran Anwar di Pandan isyarat PKR sedia adakan PRK - Rafizi

Kehadiran Anwar di Pandan isyarat PKR sedia adakan PRK – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan kehadiran Presiden PKR ke kawasan Parlimennya semalam sebagai isyarat politik yang jelas bahawa parti itu sedang membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK).

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkembangan semasa khususnya berhubung isu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya menunjukkan proses berkenaan sudah memasuki peringkat akhir untuk tindakan seterusnya.

Katanya, beliau mendapati gerakan berkenaan disusun secara berperingkat melibatkan pelbagai peringkat kepemimpinan parti.

“Sudah nampak juga gerakan itu disusun berperingkat. Bermula dari Ketua Cabang, kemudian pimpinan negeri, kemudian pimpinan yang lebih tinggi. Semua membawa mesej yang sama, iaitu saya perlu letak jawatan dan keluar parti.

“Bila susunan itu berlaku serentak, itu bukan kebetulan. Itu keputusan politik yang sedang disediakan.

“Kita pernah melihat pola yang sama sebelum ini. Sebab itu saya katakan, ini budaya lama politik dalaman yang kini dibawa semula ke dalam PKR,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Rafizi berkata, berdasarkan keadaan semasa, beliau menjangkakan PKR tidak akan mengambil tindakan pemecatan secara langsung terhadapnya.

Sebaliknya beliau berkata, parti itu akan mengambil pendekatan mentafsir kenyataan dan pendiriannya sebagai tindakan keluar parti.

“Perkara itu juga telah dibayangkan dalam surat tunjuk sebab pertama yang dikeluarkan Setiausaha Agung PKR terhadapnya. Kenapa? Sebab kalau saya dipecat, saya kekal sebagai Ahli Parlimen.

“Tetapi kalau saya dianggap keluar parti, implikasinya berbeza. Sebab itu kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pandan semalam memberi isyarat politik yang cukup jelas. PKR sedang bersedia untuk segala kemungkinan termasuk PRK.

“Jadi bagi saya, surat tunjuk sebab ini besar kemungkinan akan berakhir seperti yang disebut Datuk Dr. Fuziah Salleh sebelum ini iaitu PKR akan mentafsir pendirian saya sebagai tindakan keluar parti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan pendekatan tersebut sebagai sesuatu yang pelik kerana tidak pernah melihat parti lain menggunakan kaedah sedemikian.

“Mentafsir sendiri pendirian ahli sebagai keluar parti, hanya untuk mengelak pemecatan secara rasmi tetapi pada masa yang sama membuka jalan kepada kehilangan kerusi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar menggesa semua pihak agar bertenang susulan desakan beberapa pemimpin parti itu supaya tindakan diambil terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli.

Belia berkata, fokus sebaliknya perlu diberikan kepada isu ekonomi negara yang lebih mendesak berbanding konflik peribadi.

Katanya, sebagai Presiden parti, sebarang pandangan atau nasihat berkaitan perkara tersebut akan ditangani dengan sewajarnya, namun keutamaan ketika ini adalah kestabilan dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN