TEL AVIV: Israel menyekat Sepanyol daripada menyertai pusat penyelarasan diketuai Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan untuk membantu menstabilkan Gaza pasca perang susulan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC) di Kiryat Gat ditubuhkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, dengan matlamat untuk memantau pelaksanaan perjanjian tersebut serta memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin.
Beberapa negara termasuk Perancis, United Kingdom (UK) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut terlibat dalam CMCC melalui kehadiran anggota tentera serta diplomat yang menyertai mesyuarat berkaitan keselamatan dan bantuan kemanusiaan di wilayah itu.
Sebelum ini, wakil Sepanyol turut mengambil bahagian dalam operasi pusat berkenaan sebelum aksesnya disekat oleh Israel.
Pada Jumaat, Kementerian Luar Israel mengumumkan ia akan menghalang Sepanyol daripada menghadiri mesyuarat CMCC.
“Kecenderungan anti-Israel oleh kerajaan Sánchez adalah terlalu ketara sehingga ia kehilangan keupayaan untuk bertindak sebagai pihak yang membina dalam melaksanakan pelan damai Presiden Trump di CMCC.
“Sepanyol tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam CMCC di Kiryat Gat,” kata Menteri Luar, Gideon Saar dalam satu kenyataan.
Hubungan antara Israel dan Sepanyol dilaporkan merosot dengan ketara sejak Madrid mengiktiraf negara Palestin pada 2024.
Kedua-dua negara juga menarik balik duta masing-masing.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, merupakan pengkritik paling lantang terhadap perang Israel di Gaza, yang tercetus selepas Israel melancarkan pembunuhan besar-besaran pada 7 Oktober 2023.
Beliau juga menentang serangan ketenteraan bersama AS-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari.
Sementara itu, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, sebelum ini menuduh kerajaan Sepanyol ‘berpihak kepada golongan diktator’ kerana menentang serangan AS-Israel ke atas Iran.
Beliau turut menuduh Sepanyol terlibat secara tidak langsung dalam menghasut genosid terhadap orang Yahudi dan jenayah perang selepas negara itu mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Sepanyol hanya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun 1986, selepas kematian diktator Jeneral Francisco Franco pada 1975.
Di bawah pemerintahan Franco, Sepanyol tidak mengiktiraf Israel dan sebaliknya mengekalkan hubungan diplomatik yang lebih rapat dengan negara-negara Arab.










