Siapa kata UMNO lambat buat keputusan?  - Utusan Malaysia

Siapa kata UMNO lambat buat keputusan? 

AHMAD Maslan melihat carta sewaktu melawat Bilik Gerakan BN PDM Bukit Terendak, Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu belum terlewat untuk memuktamadkan soal calon dan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Beliau menegaskan, secara keseluruhannya UMNO sudah membuat persiapan awal dari segi jentera pilihan raya yang digerakkan sejak bulan lalu.

Tegasnya, kini UMNO negeri hanya menunggu keputusan Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan status kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Tidak timbul persoalan lambat atau cepat kerana ini adalah tactical move. Apa yang pasti soal kerjasama dengan mana-mana parti akan diputuskan Khamis ini. Soal calon pula tidak dibincangkan pada hari tersebut.

“Hanya dua perkara ini yang belum kita muktamadkan. Cuma daripada segi persiapan keseluruhan jentera pula, sudah digerakkan sejak bulan lepas. Baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), bahagian dan pusat daerah mengundi (PDM) semua sudah siap sedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) PDM Bukit Terendak, Sungai Udang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mengulas mengenai calon UMNO pula, Ahmad berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan Khamis ini, sebaliknya senarai itu dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 8 November.

Menurutnya lagi, melihat kepada persiapan yang dilakukan di peringkat bahagian, DUN dan PDM, beliau optimis BN tidak menghadapi masalah untuk menang di Melaka semula.

“Apabila kita masuk PRN atau pilihan raya umum, memang hasrat kita untuk menang. Justeru, kita mesti ada keyakinan untuk ke arah itu, kita tidak boleh riak dan takabur,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya